Tuesday, October 22, 2013

Berkorban demi cinta

Pada dua minggu lepas, saya pergi ke kelantan bersama teman-teman dan meraikan hari raya haji di sana. Sepanjang 21 tahun saya dilahirkan di muka bumi ini, inilah kali pertama saya melihat secara berdepanan lembu yang disembelih. Sebaik sahaja pisau itu mengelar leher lembu, darah mengalir turun menyembah bumi dan laungan takbir pun bergema. Sedih bila lihat lembu itu seperti mengerang kesakitan, rasa macam nak menangis. Tetapi teman saya memujuk dengan mengatakan ketika itulah binatang-binatang yang dikorbankan berada ditahap iman yang paling tinggi. Mereka rela dikorban dan mungkin mereka itu bukan mengerang kerana kesakitan sebab cara penyembelihan seperti itu sebenarnya adalah salah satu cara untuk mengurangkan kesakitan berbanding dengan cara lain. 

Sebak terasa, rindu berbunga. Rindu terhadap keluarga semakin bersemarak apabila mendengar takbir yang dilaungkan. Tambahan lagi bila ahli-ahli keluarga teman saya di sana meraikan kehadiran kami dengan gembira dan menganggap kami seperti ahli keluarga mereka. Nenek kepada kawan saya yang kami panggil ma juga sangat mesra menyebabkan kami terasa sayu bila hendak balik ke apartment. Semoga mereka sentiasa dalam perlindungan Allah.

Raya ini menyebabkan saya berfikir akan erti korban yang sebenar. Tentang bagimana nabi Ibrahim A.S sanggup mengorbankan anaknya semata-mata kerana ketaatnya kepada Allah? Bagaimana nabi Ismail rela dikorbankan kerana ingin mencapai redha Allah? walaupun semua itu amat perit bagi seseorang yang bergelar ayah, nabi Ibrahim tetap melaksanakannya. Semua ini dilakukan untuk menguji sejauh mana dalamnya cinta nabi Ibrahim terhadap Allah sehingga boleh melahirkan tindakan yang sebegitu sekali? Kesanggupan mereka untuk berkorban demi menzahirkan rasa cinta mereka kepada Allah, dan demi agama dan ummah. Bagaimana pula dengan kita? adakah rasa cinta kita terhadap Allah mampu melakukan pengorbanan seperti itu?

Saturday, October 19, 2013

lukisan disebalik hujan


"Demi langit yang mengandungi hujan" At-Tariq, (86:11)

Hujan turun dengan derasnya membasahi bumi yang kering - kontang. Air hujan yang menitis bagaikan irama yang beralun indah. Sungguh mendamaikan, sungguh menenangkan. Orang kata, hujan itu pembangkit memori, membawa misteri. Hujan membawa seribu kata yang mendalam. Dan sekarang, hujan itulah yang membuatkan saya mengimbau kembali kenangan lalu yang telah lama terpadam dari kotak memori. Dalam kedinginan suasana, saya teringat akan lagu yang selalu didendangkan oleh nenek dan ibu saya pada waktu kecil dahulu.

Hujan turun, hujan turun
Di sini, di sana
Mari kita mandi, mari kita mandi
Ding dong bell, ding dong bell

Hujan memaksa otak untuk berfikir akan anugerah Ilahi. Hujan, bagi saya, bukan suatu bencana bahkan ianya adalah satu hadiah, satu anugerah, satu nikmat yang tak terkira daripada Allah Yang Maha Kaya. Setiap titisan air hujan merupakan kasih sayang Allah yang tidak pernah putus buat hamba-hambaNya dan makhluk ciptaanNya. Mungkin banjir yang datang dari hujan itu adalah suatu bencana tetapi ianya juga anugerah yang berupa ujian. Ujian yang menguji kesabaran, meneguhkan keimanan. Ujian itu bukan melemahkan tetapi menguatkan. Bencana dapat dilihat dari sudut positif dan disebaliknya, terselit berbagai-bagai hikmah yang tersurat dan tersirat. Hujan membawa berkat, memberikan manfaat yang tidak terkira buat semesta alam. Hujan memberikan kita sumber air dan sumber makanan dari tumbuh-tumbuhan yang disirami oleh air hujan. Seperti yang disebut di dalam Al-Quran, 

"...lalu Kami turunkan hujan di daerah itu. Kemudian Kami tumbuhkan dengan hujan itu berbagai macam buah-buahan. Seperti itulah Kami membangkitkan orang yang telah mati, mudahan-mudahan kamu mengambil pelajaran." Al-Araf, (7:57)
 "Dan Allah menurunkan air (hujan) dari langit dan dengan air itu dihidupkan-Nya bumi yang tadinya sudah mati. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang mendengarkan (pelajaran) An-Nahl, (16:65) 
Di sini saya sertakan dengan doa ketika hujan turun.


Tuesday, October 8, 2013

Musafir

Hari ni genap sebulan sepuluh hari saya berada di Malaysia tanpa keluarga serta teman rapat disisi. Rindu terhadap mereka semakin menggebu. Tambahan lagi bila melihat teman serumah saya memasak sotong masak kicap untuk makan malam. Ia membuatkan saya teringat akan masakan ibu di Brunei lantas kenangan lalu kembali terimbau. Rindu dengan suasana yang meriah ketika berada di meja makan bila adik-adik berebut-rebut akan masakan ibu. Inilah salah satu hikmah yang saya dapat bila bermusafir. Jauh daripada keluarga menyedarkan saya betapa saya harus menghargai mereka apatahlagi bila mereka berada di depan mata kita. Bermusafir juga menyedarkan saya akan erti sebenar bergantung serta bertawakkal pada Yang Satu, yang sentiasa akan menemani kita. Hanya Allah tempat kita berharap serta memohon pertolongan.