Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua-duanya ada perkara yang samar-samar (syubhah). Kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. Maka sesiapa menjaga dirinya daripada yang syubhah itu, bererti dia telah membersihkan agama dan kehormatannya. Sesiapa yang melakukan perkara syubhah itu, dia berada di sekeliling batas tanah gembalaan milik orang (tanah larangan), lambat laun dia akan masuk ke dalamnya. ingatlah, bahawa setiap raja ada larangannya dan ingatlah bahawa larangan Allah adalah apa-apa yang diharamkan-Nya. Ingatlah, bahawa dalam jasad itu ada segumpal daging. jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, rosaklah jasad seluruhnya. ketahuilah, bahawa segumpal daging itu adalah hati (H.R Bukhari, Muslim dan Abu Daud, hadith yang ke 6 di dalam hadith 40 Imam Nawawi)
Hati manusia itu sentiasa berada dalam keadaan atau kondisi yang berbeza. Ada hati yang hidup, hati yang mati, hati yang sakit, hati yang keras dan sebagainya. Hati itu adalah seketul daging yang menjadi pembentuk dan penggerak hidup seseorang. Hati yang hidup adalah hati yang sentiasa peka dengan "tanah gembalaan milik orang (tanah larangan)", yang sentiasa mengingati Allah dengan mengikuti segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya, menghindari perkara yang syubhah dan haram. Manakala hati yang mati pula adalah sebaliknya. Wallahu a'lam.
"Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta adalah hati yang ada di dalam dada." Surah Al Hajj (22:46)
Tidak mahukah kita mempunyai hati yang hidup? Hati yang mampu mendekatkan kita kepada Allah? Tidak inginkah kita akan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah bila kita patuh akan perintahNya? Bila hati kita sakit, kita masih mampu merawatnya dan salah satu cara ialah dengan membaca Al-Quran dan tafsirnya serta tadabbur. Oleh itu, bacalah Al-Quran dengan hati juga, nescaya segala kekusutan akan terlerai, insya Allah. Semoga kita dijauhkan dari mempunyai hati yang mati.
"Dan sungguh, (Al-Quran) ini benalr-benar diturunkan oleh Tuhan seluruh alam, yang dibawa turun oleh Ar-Ruh Al-Amin (Jibril), ke dalam hatimu (Muhammad) agar engkau termasuk orang yang memberi peringatan" surah Asy-Syu'ara (26:192-194)
No comments:
Post a Comment